Format-format perakaman yang lain Perakaman_dan_pengeluaran_semula_bunyi

Tempoh ini juga memperlihatkan banyak perkembangan bersejarah yang lain, termasuk pengenalan perakam wayar magnet, sistem perakaman bunyi magnet praktik yang pertama yang berdasarkan kerja Valdemar Poulsen, pereka Denmark. Walaupun perakam wayar itu berkesan, mutu bunyinya tidak baik dan oleh itu, ia digunakan khusus untuk merakamkan suara dan dipasarkan sebagai perakam suara perniagaan antara kedua-dua perang dunia.

Pada dekad 1930-an, Guglielmo Marconi, perintis radio, mengembangkan sebuah sistem perakaman bunyi magnet yang menggunakan pita keluli. Pita-pitanya diperbuat daripada bahan yang sama dengan mata pisau cukur dan tidaklah hairan bahawa perakam-perakam Marconi-Stille yang ditakuti itu dianggap sangat berbahaya sehingga para juruteknik terpaksa mengendalikan mesin-mesin tersebut daripada bilik yang berasingan demi keselamatan. Disebabkan kelajuan perakaman yang tinggi yang diperlukan, mesin-mesin itu terpaksa menggunakan amat banyak gulungan pita yang semeter diameternya. Selain itu, pita-pita yang nipis itu juga kerap kali putus, dan mengakibatkan cebisan-cebisan pita keluli melayang-layang di seluruh studio.

Lagi satu rekaan utama dalam perakaman bunyi pada tempoh ini ialah sistem bunyi-pada-filem optik yang umumnya juga dikatakan dicipta oleh Lee De Forest. Walaupun "Talkie" awal yang terkenal seperti The Jazz Singer  menggunakan sistem bunyi-pada-cakera, industri filem kemudian mengambilguna sistem bunyi-pada-filem optik, dan ini menukar sepenuhnya industri filem pada dekad 1930-an, dan memulakan zaman 'gambar bercakap'. Sistem bunyi-pada-filem optik yang mendasarkan sel fotoelektrik menjadi piawai sistem audio filem di seluruh dunia sehingga digantikan pada dekad 1960-an.